• #
  • #
  • #
  • #

Ilmu syariat hakikat tarikat makrifat jalan akhirat

Penulis : Pada Hari : Kamis, 26 Januari 2012 | Jam : 07.28
Beramal dalam Islam ada tertibnya. Ada urutan dan susunannya. Ada
"progression" nya dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi. Ia
bermula dengan Syariat , kemudian dengan Tariqat , diikuti pula dengan
hakikat dan diakhiri dengan Makrifat .

Syariat.
Ini adalah ilmu sama ada ilmu bagi amalan, lahir (feqah) atau ilmu
bagi amalan hati (tasawuf). Ini adalah langkah pertama dalam tertib
beramal. Ia melibatkan ilmu tentang peraturan, hukum-hakam, halal
haram, sah batal dan sebagainya. Ilmu perlu dalam beramal. Tanpa ilmu,
kita tidak tahu macam mana hendak beramal mengikut cara yang Tuhan
mahu. Kalaupun kita sudah cinta dan takut dengan Tuhan dan kita
terdorong untuk menyembah-Nya, kita tidak boleh berbuat demikian ikut
sesuka hati kita atau ikut cara yang kita cipta sendiri. Tuhan tidak
terima, kita mesti ikut cara yang ditetapkan oleh Islam, kita mesti
belajar. Amalan tanpa ilmu itu tertolak. Ilmu atau syariat ini ibarat
biji benih.

Tariqat .
Ini adalah peringkat menghidupkan ilmu menjadi amalan sama ada amalan
lahir mahupun amalan hati secara istiqamah dan bersungguh-sungguh.
Ilmu (syariat) yang ada perlu dilaksanakan. Ini dinamakan juga tariqat
wajib dan ia tidak sama maksudnya dengan tariqat sunat yang
mengandungi wirid-wirid dan zikir-zikir yang menjadi amalan sesetengah
pengamal-pengamal sufi. Tariqat ini ibarat kita menanam biji benih
tadi (syariat) hingga ia bercambah, tumbuh dan menjadi sebatang pokok
yang bercabang dan berdaun.

Hakikat.
Hakikat adalah buah. Selepas kita ada syariat, kemudian kita amalkan
syariat itu hingga ia naik ke peringkat tariqat, yakni ia menjadi
sebatang pokok yang bercabang dan berdaun, maka kalau cukup
syarat-syaratnya maka pokok itu akan menghasilkan buah. Buah tariqat
adalah akhlak dan peningkatan peringkat nafsu atau pencapaian
maqam-maqam mahmudah. Boleh jadi ia menghasilkan maqam sabar , maqam
redha , maqam tawakkal , maqam tawadhuk , maqam syukur dan
berbagai-bagai maqam lagi. Boleh jadi hanya terhasil satu maqam sahaja
(sebiji buah sahaja) atau boleh jadi akan terhasil beberapa maqam yang
berbeza dari satu pokok yang sama. Hakikat adalah perubahan jiwa atau
perubahan peringkat nafsu hasil dari syariat dan tariqat yang dibuat
dengan faham dan dihayati.

Makrifat .
Ini adalah hasil dari hakikat, iaitu hal-hal hakikat yang dapat
dirasai secara istiqamah. Ia adalah satu tahap kemajuan rohaniah yang
tertinggi hingga dapat benar-benar mengenal Allah dan
rahsia-rahsia- Nya. Orang yang sudah sampai ke tahap ini digelar Al
Arifbillah .

Kalau kita lihat dengan teliti, tertib dalam amalan ini bermula dari
yang lahir dan berakhir dengan yang batin. Syariat dan tariqat itu
terletak dalam kawasan lahir. Hakikat dan makrifat pula menjangkau ke
dalam hati dan rohani. Kita juga dapat lihat bahawa peringkat syariat
dan tariqat adalah peringkat-peringkat yang agak mudah dicapai kerana
ia hanya melibatkan usaha lahir.


Izinkan saya mencelah dalam membicara Bab Ilmu ini. Saya rasa kita patut berterima kaseh kepada saudara Abdul Jamil Lam yang cuba menerangkan masalah jenis-jenis ilmu.
Masalah Syariat, Tariqat, Haqiqat dan Makrifat adalah bidang-bidang atau cabang ilmu yang sangat khusus dan amat berbeza disegi pendekatan dan sumber perantara ilmu itu.
Pertelingkahan antara Ulama Haqiqat dan Ulama Syariat telah berlaku sejak dulu lagi. Mereka sebenarnya “betul” dalam bidang masing-masing. Sebagaimana berlaku antara Nabi Musa dan Nabi Khaidir. Nabi Musa, walaupun seorang Nabi, beliau tidak mempunyai Makrifat. Jadi beliau menghukum sesuatu kejadian berdasarkan ilmu Syariat yang beliau tahu. Nabi Khaidir pula dikurniakan Allah ilmu Makrifat, jadi beliau menghukum sesuatu mengikut ilmunya. Jadi dalam perjalanan bersama-sama Nabi Musa, Nabi Khaidir telah membunuh seorang budak, membangun semula rumah yang telah hampir musnah dan mengapak kapal yang beliau tumpangi. Perbuatan ini amat bersalahan dengan Syariat Nabi Musa. Kerana tidak sabar, Nabi Musa menegur perbuatan Nabi Khidir. Dengan itu mereka terpaksa berpisah sebagaimana perjanjian yang telah dibuat sebelum perjalanan. Nabi Khaidir berbuat demikian kerana pada pandangan Makrifatnya, budak itu mesti dibunuh kerana ia bakal menjadi anak yang nakal, sedangkan ibu/bapanya orang yang solleh. Dibawah bangunan lama terdapat harta anak yatim yang belum dewasa. Dalam perjalanan dengan kapal, Nabi Khaidir merosakkan sedikit kapal yang ditumpanginya supaya tidak dirampas oleh Raja yang zalim di pelabuhan yang mereka akan singgah. Raja ini akan merampas kapal-kapal yang baik.
Dalam hal ini Nabi Musa betul dengan ilmunya dan Nabi Khaidir betul dengan ilmunya.
Seperti juga berlaku pada Halaj, seorang wali Allah. Ia dihukum bunuh kerana dikatakan mengaku dirinya Allah dengan berkata `Anal Haq’. Pada pandangan Feqah (ilmu syariat) beliau telah bersalah dan perlu dihukum bunuh. Setelah kepalanya dipancung, darah tersembur dan membentuk perkataan “La ila ha illa llah” dipermukaan tanah. Dalam hal ini, ahli Syariat yang menghukum tidak bersalah dan Halaj juga tidak bersalah. Halaj berkata demikian kerana terlalu ‘Zuk” atau telah fana didalam kewujudan Allah SWT.
Sumber hukum untuk masyarakat umum dalam Islam mestilah berlandaskan Syariat. Ini adalah untuk menjadikan hukum Islam bersistematik sebagaimana diamalkan oleh Rasulullah SAW.
Laduni dan Kashaf sebenarnya bukan ilmu. Ia merupakan cara ilmu itu disampaikan. Laduni bermaksud Allah memasukkan terus maklumat berkenaan sesuatu perkara kedalam pengtahuan orang itu. Tidak melalui pendengaran atau penglihatan. Dengan perkataan lain tidak ada guru.
Khasaf pula bermaksud keupayaan seseorang itu melihat perkara-perkara yang ghaib pada mata kasar. Pandangan khasaf ialah pandangan menggunakan mata basir (mata batin atau mata ruhani). Kalau mata kasar menggunakan cahaya (cahaya matahari atau lampu) untuk melihat, mata basir menggunakan “nur” untuk melihat. Kekuatan mata basir berbeza-beza. Paling rendah boleh melihat dimensi jin (dan syaitan). Peringkat lebih tinggi boleh melihat dimensi malaikat (alam malakut), kemudian dimensi roh. Paling tinggi ialah dimensi ketuhaan (Alam Lahut).
Jadi ilmu-ilmu ini walaupun sumbernya Allah SWT, tetapi melalui cara yang berbeza. Sesuai dengan Ilmu Syariat yang bersifat zahir dan membicara perkara-perkara yang zahir semata-mata, maka cara penyampaiannya juga menggunakan peralatan zahir, seperti guru zahir, kitab-kitab yang bersumberkan Quran dan Hadith Rasulullah SAW.
Tariqat ialah jalan atau cara-cara untuk mempertingkatkan IMAN, TAQWA dan seterusnya mendapatkan keredhaan Allah SWT. Jadi, untuk mendapatkan keredhaan Allah, mestilah menggunkan jalan atau peraturan yang diredhai Allah. Apabila sesorang pengamal tariqat beramal bersungguh-sungguh dengan ikhlas dibawah panduan seorang guru yang murshid, darjat IMAN dan TQWAnya meningkat dari sehari-kesehari. Hasil dari peningkatan ini, “dirinya” yang di dalam diri zahir, atau ronya, menjadi bertambah kuat dan sehat. Mata basirnya semakin terang sehingga pada suatu masa, cukup kuat sehingga boleh melihat alam ghaib atau kashaf. Setelah kasyaf dan sudah melihat dimensi-dimensi yang dijelaskan tadi, IMANnya meningkat dari ILMU YAKIN kepada AINUL YAKIN. Kalau dahulu murid itu yakin adanya alam ghaib kerana percaya kepada ilmu syariat yang dipelajari. Tetapi sekarang ini telah melihat sendiri adanya alam ghaib tersebut. Naiklah darjat menjadi AINUL YAKIN (Ain bermakna mata).
Kemudian Allah membuka lagi lautan ilmu (maklumat) berkenaan dengan Rahsia Allah kepada murid ini melalui guru-guru ghaib yang terdiri daripada Wali-wali Allah atau ALLAH memberi terus melalui Laduni. IMAN murid tadi meningkat lagi sehingga HAQQUL YAKIN. Ia itu yakin sebenarnya-benar yakin. Inilah darjat yakin para Nabi-nabi.
Setelah mengtahui rahsia-rahsia kejadian alam ini, maka dikatakan murid tadi telah mendapat HAQIQAT. Ia itu mengtahui kejadian makhluk Allah disegi zahirnya dan gahibnya (batinya). Setelah mendapat HAQIQAT, seterunya murid tadi dengan kurniaNYA, mungkin akan ditambah lagi ILMUnya sehingga mengenal KHALIQ, Yang Maha Pencipta iatu ALLAH YANG MAHA PERKASA. Inillah dikatakan telah mendapat MAKRIFAT. Ia itu mengenal ALLAH sebagaimana ALLAH sendiri memberi tahu diriNYA.
Jadi sebagai kesimpulan, Tariqat itu masih berbetuk syariat kerana ia ilmu zahir. Hasil dari amalan tariqat, seseorang itu dikurniakan Haqiqat dan Makrifat.
Guru murshid ialah guru yang telah mendapat sekurang-kurangnya peringkat Haqiqat kalaupun tidak mendapat Makrifat.
Jadi kesimpulanya, kalau kita bukan ahlinya, tak payahlah jadi macam orang buta yang cuba menceritakan bentuk seekor gajah. Orang buta yang pegang belalai tentu mengatakan gajah itu seperti ular. Orang buta yang pegang kaki, kata gajah macam tiang, begitulah seterunya.
Berkenaan dengan bagaimana nak membezakan sama ada sumber ilham atau guru ghaib itu yang haq (wali-wali misalnya) atau batil (syaitan). Ini perkara senang. Guru yang murshid akan dapat membantu muridnya. Guru murshid melihat dengan mata bashir dan dapat mengenal siapa sebenarnya yang datang. Syaitan memang pandai berupa, tetapi mata bashir lebih tajam. Syaitan itu boleh dibunuh.
Kalau berbicara masalah Tariqat, tak payahlah tanya mana hadis atau nasnya. Lihatlah siapa yang mengajar dan siapa muridnya. Mana salsilahnya. Tariqat yang betul jelas. Tariqat yang salah pun jelas. Kalau amalan Tariqat tersebut bersalahan dengan Syariat, jangan ragu lagi. Pasti salah. Seperti sembahyang tanpa kelakuan atau sembahyang niat atau dipanggil juga sembahyang batin, tentu salah kerana sembahyang mesti ada ketiga, niat, berkata-kata dan kelakuan. Kalau tidak menjaga aurat, bercampur laki-laki dan perempuan juga salah.
Bahkan, semakin tinggi seseorang itu dalam perjalanannya menuju keredhaan Ilahi, semakin banyak dia bersembahyang. Sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Kalau semakin tidak sembahyang, sahlah syaitan atau ketua syaitan ia itu Iblislah gurunya.
Sebagai kesimpulan, kalau kita bermaksud untuk menjadi orang yang diredhai Allah SWT MESTI belajar dan amal Tariqat. Sesorang yang mengamal Tariqat telah tahu dengan yakin sama ada segala amalannya diterima atau tidak oleh Allah SWT sebelum ia meninggal dunia lagi. Ia masih boleh betulkan sebelum mengadap Ilahi. Bahkan mereka ini mungkin dilantik menjadi Wali-Wali Allah.
Orang syariat hanya mendapat tahu sama ada Allah redha atau tidak setelah mereka mati. Ini sudah terlambat kalau terdapat kesilapan dalam amalan sehingga tidak diterima Allah SWT.
Fikirkanlah……………… saudaraku

"Hakikat tidak akan muncul sewajarnya jika Syariat dan Thorikat belum betul lagi kedudukannya. Huruf-huruf tidak akan tertulis dengan betul jika pena tidak betul keadaannya."
Fakir Suluk mulakan bicara dengan Taufiq yang diberikan oleh Allah Taala Yang Ampunya Pengetahuan.
Adapun perkataan Syariat,  Thoriqat,  Hakikat dan Makrifat walaupun ianya berlainan pada sebutan tetapi dari segi tujuannya adalah satu jua iaitu sekelian itu "Syariat".  Berlainan pada lafaz atau sebutan-sebutan ini adalah  kerana berlainan hantaran jua seperti yang akan dibincangkan dalam bab ini Insya Allah.  Kata Sheikh Al-Islam Sulaiman bin Shodiq dalam kitabnya Mizaan Al-'Aqala' bahawa tiap-tiap satu daripada perkara-perkara tersebut ada dua hantaran maknanya iaitu;
  • Makna Lughowi (dari segi bahasa) dan
  • Makna Istilah (dari segi syarak)
Adapun tiap-tiap satu daripada empat perkara itu  atas sekira-kira makna lughowi(bahasa) iaitu;
  • Syariat adalah kenyataan
  • Thoriqat adalah  jalan
  • Hakikat adalah sebenar
  • Makrifat adalah mengenal.
1. Penerangan  Mengenai Syariat.
Adapun makna istilah atau pengertian mengikut syarak  bagi syariat ialah;
"Undang-undang Tuhan yang dihantarkan untuk kebaikan hamba daripada sekira-kira suruh dan tegah dan harus".
  • Maka "suruh" itu dua bahagi iaitu,  pertamanya wajib dan keduanya sunat.
  • dan "tegah" itu dua bahagi juga  iaitu haram dan makruh
  • dan "harus" itu satu jua
dimana berjumlah semuanya  lima perkara iaitu;
  • Wajib
  • Sunat
  • Haram
  • Makruh dan
  • Harus.
Adapun erti wajib itu ialah sesuatu yang diberi pahala pada mengerjakannya dan berdosa apabila meninggalkan ia.  Sunat itu pula ialah sesuatu yang diberi pahala pada mengerjakannya dan tiada berdosa apabila meninggalkan ia.  Adapun haram itu ialah berdosa pada mengerjakannya dan diberi pahala pada meninggalkan ia dan makruh itu tiada berdosa mengerjakan ia dan diberi pahala apabila meninggalkan ia dan harus itu bersamaan jua sama ada mengerjakan ia atau meninggalkan ia iaitu tidak diberi pahala atau dosa..
Inilah yang dinamakan Syariat atau Syarak.
Maka tiap-tiap yang keluar daripada perbuatan kita atau perkataan kita atau niat kita semuanya yang mencakupi zahir dan batin  tidak terlepas malah akan terkena dengan salah satu daripada tiga perkara itu iaitu;
  • adakalanya kebajikan atau
  • tidak kebajikan atau
  • tidak kebajikan dan tidak kejahatan.
Maka tiga perkara ini merupakan penimbang syariat;  di mana tak dapat tidak(mesti) akan terkena pada tiap-tiap seseorang.  Maka yakinilah bahawasanya thoriqat,  hakikat dan makrifat  ketiga-tiganya  itu adalah syariat juga;  tiada keluar sekali-kali daripada nama syariat.  Ia hanyalah bersalahan pada nama dan sebutan jua dan sebab yang demikian itu adalah kerana Thoriqat itu maknanya pada istilah atau syarak ialah "WASILAH" dan erti wasilah itu ialah tiap-tiap sesuatu yang boleh menyampaikan dan menghasilkan kehendak seperti kapal atau kereta dan lain-lain di mana sekelian itu merupakan "WASILAH" atau "THORIQAT" yang menyampaikan kepada tempat yang diqasadkan.
2.  Penerangan Mengenai Thoriqat
Adalah tujuan kehendak "SYARIAT" itu dua perkara sahaja iaitu;
  • Pertamanya "Takliyah" dan
  • Keduanya "Tahliyah".
Adapun erti Takliyah itu ialah "membersihkan dan menyucikan daripada segala kejahatan zhohir dan batin" dan erti Tahliyah itu ialah menghiasi dan bersepakai dengan kelakuan dan perangai yang baik zhohir dan batin.
Maka kejahatan yang sehabis-habis jahat dan keji itu ialah lupa atau lalai kepada Allah Taala dan kebajikan serta kelakuan perangai yang sehabis-habis baik itu ialah "Dawaamul Hudur" ertinya sentiasa ingat akan Allah Taala.
Firman Allah Taala;
"Kemana sahaja mereka memalingkan muka mereka,  di situ ada Wajah Allah". (Al-Quran).
Maka  dua perkara  inilah  yang dituntut pada syarak kepada seorang hamba  untuk/supaya  mencarikan jalan thoriqat yang  boleh menjauhkan kejahatan itu dan menyampaikan kepada sehabis-habis kebajikan itu dengan apa-apa jalan(thoriqat) yang ada.  Maka jalan  yang ada itu tersangatlah banyak sehinggakan ada antara ulama yang mengatakan;
"Bermula jalan yang boleh   menyampaikan kepada  Allah itu amat banyak dengan sebilang-bilang nafas sekelian makhluk".
Dan lagi  firman Allah Taala dalam Surah Al-Imran : 31 yg bermaksud :
Katakanlah Ya Muhamad kepada umat engkau, jika ada kamu kasih akan Allah, maka ikutilah aku(Rasulullah SAW.)  supaya kasih pula Allah Taala akan kamu.
Dari maksud Firman Allah ini membuktikan segala amalan dan perbuatan yang telah baginda lakukan dan tinggalkan atau yang baginda"syariatkan" adalah merupakan "Thoriqat"  untuk mencapai keredhoaan Allah Taala.   Dan untuk memperihalkan segala amalan baginda itu, semuanya telah umum kenyataannya dari hadis-hadis dan riwayat hidup baginda serta dari kitab-kitab fekah yang diasaskan  oleh empat mazhab yang memang diakui kebenarannya..
Dalam hal  ini,  eloklah  kita lihat penegasan mengikut pandangan hakikat dari hambanya yang telah Washil ilaLah(sampai kepada Allah).  Telah menyebut oleh Al-Arif  Al-Rabbani Kamil Mukamil Wali Qutub Sheikh Abi Madyan r.a. dalam kitabnya "Kanzul Manan" sebagaimana berikut;
"Diharamkan mereka itu sampai kepada Allah kerana meninggalkan mengikut"Thoriqat Muhammadiyah" (iaitu amalan dan perbuatan Rasulullah SAW. di samping suruhan dan tegahannya) dan berjalan mereka itu dengan keinginan mereka".
Maka segala jalan yang ditentukan oleh syarak yang di bawa oleh  Rasulullah SAW. itu tiada keluar daripada pekerjaan yang disuruh ertinya mengerjakan yang disuruh  dan meninggalkan yang ditegah.  Maka setengah daripada jalan itu ialah dengan membanyakkan sembahyang sunat dan puasa dan zikirullah dan membanyakkan membaca dan mengkaji Al-Quran,  memperdalami ilmu  agama,  berbuat kebajikan kepada  golongan  fakir dan lain-lain lagi daripada yang disuruh dan menjauhkan apa yang ditegah.
Dengan demikian,  mengerjakan apa-apa yang tersebut itu dikatakan "Thoriqat" dan  orang yang menjalankannya dan mengerjakan yang demikian itu dinamakan dia "Ahli Thoriqat".  Maka difaham daripadanya,  jelaslah dan nyatalah bahawasanya thoriqat itu ialah syariat juga dan tiada keluar sekali daripada nama syariat  di mana ianya telah ditegaskan oleh Allah Taala dalam firmanNya dalam Surah Al-Hasyr: 07 yang bermaksud;
"Dan apa-apa yang telah mendatang ia akan kamu oleh  Rasulullah itu maka ambil oleh kamu dan apa-apa yang menegah ia akan kamu,  maka berhentilah oleh kamu jangan dikerjakan".
Itulah sebenar-benar Thoriqat;  iaitu Syariat dalam erti kata melaksanakan dan menjunjung akan apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang ditegah.  Bukanlah ditentukan dengan kehendak dengan thoriqat itu semata-mata atau khusus dengan "Thoriqat Naqsyambandiyah" atau "Thoriqat Khulwati"  atau :"Thoriqat Ahmadiyah" atau lain-lain lagi.
Adapun yang dimasyhur dengan thoriqat-thoriqat tersebut adalah semata-mata disandarkan kepada orang yang mula mengasaskan dan mengerjakan pekerjaan itu hingga masyhur namanya dan dikatakanlah thoriqat itu Thoriqat fulan-fulan.  Ini adalah "salah satu cara atau jalan"  untuk sampai kepada Allah di samping banyak lagi jalan-jalan lain yang ada mengikut sebilangan nafas yang ada pada makhluk ini. Perlu ditegaskan bukan kita menafikan akan kebenaran Thoriqat khususiah ini,  tetapi kita ingin menjelaskan bahawa itu adalah salah satu jalan dari jalan-jalan lain yang ada.  Bukanlah semestinya dengan jalan yang ini sahaja dan janganlah dinafikan jalan  yang lain kerana menafikan jalan yang lain samalah seperti menafikan anugerah Rahmat Allah yang lain.
Janganlah terkeliru dengan istilah Thoriqat ini sehingga ada yang sanggup menidakkan atau mempelekehkan orang-orang yang tidak ikut dalam Jamaah Thoriqat Khususiah yang tertentu dengan tuduhan-tuduhan liar sebagai orang yang "suka makan kulit sahaja" atau "orang yang tidak mengamalkan ilmunya"  atau "golongan syariat yang jahil tentang thoriqat dan makrifat" atau "orang yang tidak mengikut jalan yang sebenar" atau tuduhan-tuduhan lain hanya kerana mereka tidak ikut berthoriqat secara khususiyah mengikut mana-mana nama thoriqat seperti di atas.  Tujuan mereka adalah sama sahaja iaitu untuk sampai kepada Allah dan berbeza mungkin pada jalan-jalannya sahaja.
Jangan....jangan sekali dipersempitkan keluasan Allah dan dikurangkan Kekayaan Allah Yang Maha Meliputi di atas setiap penzhohiran yang ada. "Kemana sahaja mereka memalingkan muka mereka,  di situ ada Wajah Allah". (Al-Quran). Jangan pula kita lupa kepada pandangan hakikat dan orang-orang yang bermakrifat bahawa untuk "sampai  kepada Allah" itu adalah dengan limpah rahmatNya jua
Telah diceritakan daripada seorang lelaki berkata kepada Sheikh(Guru)nya.  Katanya;  Wiridkan olehmu kepadaku suatu wirid.   Mendengar pertanyaan lelaki itu,  maka marahlah  Sheikhnya kerana bodohnya permintaan tersebut.  Katanya(sheikh);  Adakah aku Rasul yang mewajibkan segala yang wajib dan segala fardu itu telah maklum dan segala maksiat itu telah masyhur.
  • Maka peliharakan bagi segala fardu dan
  • tinggalkan segala maksiat itu dan
  • peliharalah olehmu akan hatimu  daripada berkehendak kepada dunia dan kasih kepada perempuan  dan
  • lemahkan kepada syahwat. dan
  • redholah engkau pada  bahagian Allah bagimu  yang keredhoaan.(dari amal dan ibadatmu). Maka jadikan olehmu bagi Allah syukur dan
  • apabila datang bagimu kedukaan maka jadikan olehmu sabar. [Petikan dari Kitab Hikam Ibni Athoillah]
Tersebut dalam Kitab Ilmu Tahqiq atau Ilmu Haqiqat atau dinamakan juga Ilmu Martabat Tujuh "Manhalus Shofi Fi Bayaani Rumuzi Ahli Suffi" sebagaimana berikut;
"Ketahuilah olehmu  bahawasanya setengah daripada yang tak dapat tidak(wajib) bagi orang yang "murid" yang hendak berjalan kepada Allah Taala;  mengikut jalan(thoriqat) segala Ahlillah iaitu bahawa hendaklah
  • melazimkan dirinya tetap dengan beradab atas Syariat Nabi kita Muhammad SAW.
  • yakni dengan memelihara segala perkara yang disuruhnya dan yang ditegahnya kemudian
  • masuklah  ia pada thoriqat Nabi kita Muhammad SAW.
  • yakni mengikut jalan yang dikerjakan oleh Nabi kita pada segala amal atas sekuasanya.
Maka sesungguhnya tiadalah Maqam yang terlebih tinggi daripada Maqam mengikut Nabi SAW.  daripada segala perbuatannya(Nabi) dan tegahnya dan kelakuannya dan perangainya.  Maka tiada dapat ia sampai kepada Allah Taala melainkan dengan mengikut Nabi kita Muhammad SAW.  kerana bagindalah Arif yang sebenarnya yang terlebih mengetahui dengan barang yang terlebih afdhal dan terlebih kasih bagi Allah  dan dengan sesuatu yang menghampirkan dirinya kepada Allah dan kepada redhoNya".
3.  Penerangan Mengenai Hakikat
Adapun maknanya pada istilah ialah yang bermaksud;
"Hakikat sesuatu yakni "yang sebenar-benar bagi sesuatu"  ialah barang(sesuatu) yang tiada boleh ada sesuatu itu melainkan dengan "suatu yang lain".  Maka suatu yang lain itulah "Hakikatnya".
Maka inilah sehabis-habis mudah dan seterang-terang contoh.  Bandingannya amatlah banyak seperti kita kata hakikat kain baju dan benang itu semuanya kapas kerana jika tiada kapas tiada boleh didapati segala perkara tersebut.  Maka dikatakan kapas itu hakikat bagi benang dan kain baju.  Demikian jugalah dikatakan hakikat pegawai-pegawai pekerjaan kesemua itu ialah Sultan atau kerajaan.kerana tiada boleh berdiri pegawai-pegawai tersebut jika tiada Sultan atau kerajaan.  Maka demikanlah juga makhluk atau Alam ini , hakikatnya adalah Allah Taala kerana jika tiada Wujud Allah Taala tentu sekali tiadalah wujud Alam ini.  Maka apa-apa yang ada pada makluk dan apa-apa yang terbit dari makhluk itu semuanya Allah Taala yang menjadikannya seperti firman Allah yang bermaksud;
"Dan bermula Allah itulah yang menjadikan kamu dan apa-apa yang kamu perbuatkan" (Surah As-Shofat: 96).
Dan Firman Allah Taala dalam surah Al Anfal: 17 yg bermaksud :
"Dan tiada engkau melempar ya Muhammad tatkala engkau melempar tetapi Allah Taala jua yg melempar"
Maka zhohir ayat ini menunjukkan bahawasanya hakikat bagi kita dan perbuatan kita ialah Allah
Taala,  bukan dari kita kerana makhluk tiada kuasa sekali-kali. "Kemana sahaja mereka memalingkan muka mereka,  di situ ada Wajah Allah". (Al-Quran).   Inilah yang dituntut supaya mengenal Allah Taala.  Maka hendaklah beriman dan percaya dan mengi'tiqadkan bahawa sekelian perkara ini adalah perbuatan Allah Taala,  cuma zhohirnya sahaja disandarkan pada makhluk ini sebagai kenyataan Kehambaan dan Ketuhanan.
Untuk mencapai hakikat dan mengenal Allah Taala ini,  maka ianya juga termasuk dalam suruh Syariat dengan tuntutan supaya mempelajari Ilmu Tauhid atau Ilmu Usuluddin atau Ilmu Sifat 20 atau Ilmu Kalam kerana mana mungkin diketahui hakikat Allah Taala dan percaya,  beriman dan beri'tiqad dengan i'tiqad yang sebenarnya dengan tiada Ilmu mengenai Ketuhanan. Jadi, dengan kata lain  tidak akan mengenal Hakikat itu melainkan dengan Ilmu Tauhid iaitu Ilmu untuk mengenal Allah sebagaimana maksud sabda Nabi SAW.  yang bermaksud;
"Awal-awal agama itu ialah mengenal Allah"
Maka tegasnya; mencari  ilmu mengenal Allah itulah suruh "syariat" untuk mengenal hakikat sesuatu dan usaha untuk mencari dan mempelajari serta mengamalkan  ilmu tersebut itulah wasilah atau jalan atau "thoriqat" untuk mencapai tujuan tersebut.  Demikian juga halnya  kewajiban untuk mempelajari Ilmu Tasauf itu adalah  juga tuntutan "syariat" supaya boleh dikenal dan  dibeza mana yang Haq dan mana yang  batil dalam  erti kata yang mencakupi mengenal kejahatan-kejahatan dan tipu-daya nafsu(sifat-sifat mazmumah)  dan sifat-sifat terpuji(mahmudah) yang membawa kepada maksud "mengenal  diri".
4.  Penerangan Mengenai Makrifat.
Adapun makna makrifat pada istilah atau syarak ialah;
"Ibarat daripada mengenalkan sesuatu itu akan sesuatu yang dengan ia(mengenal) itu memberi akan tiap-tiap ampunya hak itu haknya"  dalam bahasa mudahnya;
"Boleh membezakan antara yang haq(benar) dengan yang batil".
Contohnya seperti mencari jalan untuk kenal Raja apabila sudah mengenalinya maka mana-mana sifat yang patut dengan Raja itu dipegang atau dii'tiqad akan sifat-sifatnya.  Demikian jugalah hamba dengan Tuhannya;  mana-mana Sifat Kamalat(Kesempurnaan) yang patut  dengan Tuhan itu maka itulah yang di'itiqadkan pada HakNya dan mana-mana yang tiada patut akan dinafikan daripadaNya.
Maka  dengan kerana inilah diwajibkan atas kita mengenal dengan sebenar-benar mengenal.  Maka  ini pun termasuklah  juga ke dalam suruhan "syariat"  dengan wasilah(thoriqat) menuntut Ilmu Tauhid dan Ilmu  Tasauf  yang akan membawa kepada  hakikat untuk mengenal(makrifat)  Tuhan dan mengenal diri.  Sabda Nabi SAW. yang bermaksud;
"Barangsiapa mengenal(makrifat) dirinya, maka mengenallah  ia akan TuhanNya dan barangsiapa mengenal  TuhanNya, maka binasalah dirinya".
Tersebut dalam Kitab "Kasful Asror";
  • Adapun yang dinamai "syariat" itu ialah engkau sembah(ta'bud) akan Allah Taala dan engkau kerjakan segala  suruh  syarak dan menjauhi segala  yang ditegah.
  • Adapaun yang dinamai "thoriqat"   itu  ialah engkau sahaja(tuju) akan Allah Taala dengan Ilmu dan Amal dan engkau amalkan barang yang engkau ketahui.
  • Adapun  yang dinamai "hakikat"  itu  seperti engkau pandang(musyahadah)  Allah Taala dengan cahaya yang dipertaruhkan Allah sama tengah hatimu.
  • Adapun "makrifat" itu lengkap meliputi pada sekelian  badan.(ilmu, amal zhohir dan batin serta hal-ahwalnya).
Tersebut dalam bicara Kitab Hikam Ibni Athoillah As-Kanddari bahawa tidak akan ada Warid tanpa Wirid.  Yang dimaksudkan dengan wirid ialah apa sahaja amalan zhohir atau batin yang dilakukan secara Istiqamah dan terhasilah Warid Ilahiyyah iaitu pembukaan dan pencampakan Nur Ketuhanan yang membukakan sesuatu yang sebelum ini tertutup atau terhijab.  Dengan terbukanya sesuatu rahsia di Alam Ghaib ini,  maka terserlah bahagian-bahagian hakikat atau makrifat mengikut kadar yang diizinkan.  (Kita akan bincangkan hal yang berkaitan dengan Wirid dan Warid ini dalam bab yang lain kerana ianya memerlukan penjelasan yang agak panjang .   Untuk  bayangannya ada  sila lihat  di bawah Tajuk Makrifatullah).  Apa yang penting ialah diketahui di sini bahawa wirid-wirid yang dimaksudkan itu ialah amalan-amalan syariat yang mengikut thoriq yang disyariatkan oleh Rasulullah SAW.
Maka jelaslah pada kita sekarang  bahawa Thoriqat,  Hakikat dan Makrifat adalah Syariat jua,  tiada lainnya.  Sebab itulah dikatakan;
Bermula syariat dengan tiada hakikat  itu "hampa" dan hakikat dengan tiada syariat itu "batal".
5.  Rumusan dan Penutup
Jika kita buat kajian behawasanya Allah Taala membangkitkan Rasul-Rasul  daripada Nabi Adam a.s. hingga Nabi Muhammad SAW.  tiada terdengar akan ajaran Rasul-Rasul dan Nabi-Nabi  itu melainkan hanya SYARIAT jua seperti Syariat Nabi Muhammad mengubah akan Syariat Nabi-Nabi yang terdahulu.  Tiada pernah terdengar lagi pada sebutan atau tiada pernah terbaca dalam mana-mana Kitab yang yang mengatakan;
Thoriqat,  Hakikat,  Makrifat  Nabi "Anu-anu" mengubahkan akan Thoriqat,  Hakikat,  Makrifat  Nabi "Anu-anu".
Maka oleh sebab tiada sempurna faham  itulah menyebabkan jadi kesamaran pada fahaman masing-masing kerana tiada mengetahui maksud pada istilah masing-masing.
Dan contoh atau bandingan yang terlebih terang lagi ialah seperti satu pemerintahan.  Maka sebuah pemerintahan tidak akan ada jika tiada "Fardu Jami'un" iaitu Raja atau Sultan atau Kerajaan.  Ini adalah kerana tujuan satu-satu pemerintahan itu ialah "Fardu Jami'un" dan inilah yang mendatangkan kemajuan dan terpeliharanya daripada  kejatuhan atau kemunduran.  Maka jalan untuk memelihara kestabilan dan hendak mendatangkan kebajikan dan menolak kejahatan ialah dengan mengadakan undang-undang negeri itu.  Maka dalam undang-undang itu terkandung di dalamnya akan perkara-perkara tersebut  yang terdiri daripada perkara-perkara yang ditegah dan perkara-perkara yang  disuruh dan daripada perkara yang tiada ditegah dan perkara yang tidak disuruh.  Maka undang-undang inilah syariat negeri/negara tersebut.
Demikian juga syariat pada agama adalah seperti yang tersebut itu,  di mana undang-undang Tuhan adalah bertujuan untuk membaikkan hamba-hambaNya dengan sekira-kira suruh dan tegah dan yang tiada disuruh dan yang tiada ditegah.  Menjalankan atau melaksanakan undang-undang itu "Thoriqat" iaitu wasilah yang bertujuan untuk menyampaikan kepada apa yang dimaksudkan iaitu mendatangkan kebajikan dan menolak kejahatan.  Maka menjalankan undang-undang itu  adalah meliputi perkara yang disuruh dan pegawai-pegawai yang menjalankan undang-undang itu dinamakan Ahli Thoriqat dan Hakikat undang-undang itu Raja atau Kerajaan. "Kemana sahaja mereka memalingkan muka mereka,  di situ ada Wajah Allah".(Al-Quran).  Ini adalah kerana tidak boleh ada  undang-undang itu melainkan dengan adanya Raja atau undang-undang itu.
Maka disuruh ambil tahu akan demikian itu(undang-undang/syariat) dan makrifat itu juga disuruh ambil ketahui dan kenal betul-betul akan tiap-tiap sesuatu daripada Raja atau Kerajaan dan pegawai-pegawai lainnya dengan maqam dan martabat yang patut dengan masing-masing.  "Kemana sahaja mereka memalingkan muka mereka,  di situ ada Wajah Allah".(Al-Quran).Maka inilah yang dikatakan Makrifat (ertinya pengenalan).  Maka semua itu terkandung dalam undang-undang.  Dengan sebab itulah dikatakan Thoriqat,  Hakikat dan Makrifat itu undang-undang atau Syariat. (Sheikh Al-Islam Sulaiman bin Shodiq dalam kitabnya Mizaan Al-'Aqala' )
Dengan ini,  jelaslah pada kita bahawa dengan menjunjung dan melaksanakan syariat Allah melalui pelbagai amalan yang telah difardukan dan yang disunatkan oleh Allah dan Rasul itulah juga Thoriqat,  Hakikat dan Makrifat.
Sesiapapun tidak boleh menyangkal akan kebenaran kenyataan ini jika benar-benar memahami maksud Hadis Qudsi seperti di bawah kerana ianya menghimpun akan semua perkara yang kita bincangkan di atas.  Perhatikanlah!!!  Renungkan!!! dan kajilah maksud-maksudnya yang merangkaikan makna Syariat,  Thoriqat,  Hakikat dan Makrifat.
Dari Abi Hurairah r.a katanya,  Rasulullah SAW.  bersabda(dengan maksud);
Sesungguhnya Allah Taala berfirman:;  Barangsiapa yang menyakiti WaliKu,  maka sesungguhnya Aku memaklumkan perang kepadanya dan tiada mendekati hambaKu dengan sesuatu(amalan) yang lebih aku sukai dari (mengerjakan) apa yang yang telah Aku fardukan ke atasnya.  Dan sentiasalah hambaKu mendekatkan dirinya kepadaku dengan (melakukan) segala yang sunat hingga Aku mencintainya.  Maka apabila Aku telah mencintainya,  adalah
  • Aku yang (menjadi) pendengarannya yang ia dengar dengan dia dan
  • Penglihatannya yang ia melihat dengan dia,  dan
  • Tangannya yang ia tamparkan dengan dia dan
  • Kakinya yang ia berjalan dengan dia;
  • dan demi jika ia meminta kepadaKu,  nescaya Aku berikan kepada dia
  • dan demi jika ia meminta perlindungan kepadaKu,  nescaya Aku melindunginya.  (Riwayat oleh Bukhori)
[Tanbih]Yang paling utama dalam mendekati dan memahami sesuatu perkara itu ialah dengan adanya Ilmu sebab ibadah(pelaksanaan syariat, thoriqat dan hakikat) itu akan sia-sia jika tanpa ilmu. Dan hendaklah diketahui bahawa untuk Ilmu dan Ibadat itulah maka terjadi semua apa-apa yang engkau lihat dan dengar itu;  hanya untuk Ilmu.  Dan kerana untuk Ilmu dan Ibadat juga maka kitab-kitab suci itu diturunkan oleh Allah Taala dan semua Rasul-Rasul diutus hanya untuk Ilmu dan Ibadat.
Imam Shafie r.a berkata;
"Jika tidak ada Wali-wali itu para Ulama,  maka tidaklah bagi Allah seorang Wali dalam permukaan  bumi".
Kita akan bicarakan nanti Insya Allah..... mengenai Ilmu dan Ibadat ini sebagai lanjutan untuk mentahqiqkan lagi kefahaman dan keyakinan bahawa;
"Bermula jalan yang boleh   menyampaikan kepada  Allah itu amat banyak dengan sebilang-bilang nafas sekelian makhluk".
Janganlah dipersempitkan keluasan dan Kekayaan Allah Taala dan janganlah diperkecilkan Keagungan dan Kemuliaan Allah,  dan janganlah dikurangkan Kesempurnaan Allah dan janganlah diperlecehkan KeAgungan dan Keindahan Syariat Allah kerana sesungguhnya Allah menjadikan segala Asya' ini dengan Sifat Jamal dan JalalNya.
"Hakikat tidak akan muncul sewajarnya jika Syariat dan Thoriqat belum betul lagi kedudukannya. Huruf-huruf tidak akan tertulis dengan betul jika pena tidak betul keadaannya."
Semoga Allah membimbing dan menunjuki kita semua ke arah "jalan yang benar"
Allahu A'lam.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

 

Popular Posts